DERMA KILAT - JUTAAN TERIMA KASIH

Alhamdulillan... Langganan hosting dan domain telah diperbaharui untuk 2 tahun. islam2u.net hoting plan (16/11/2016 - 15/11/2018). Manakala untuk Domain pula, next due 26/06/2018.

Jumlah yang diperlukan: RM590.00
Jumlah Sumbangan: RM 500.00

Penyumbang:
- Tuan Alfakir Billah
- Hamba Allah
- Infaq atas nama ayahanda (Allahyarham Hj Othman bin Lateh)
- Puan Rahmah
- Infaq ata nama ibunda (Allahyarhamah Arbayah bte bahron)
- Hamba Allah

Jazakumullah Khairan. Semoga Allah jualah yang membalas budi kalian. Semoga Allah melipat gandakan rezeki kalian dengan rezeki yang barokah.

Print
PDF

TAMBAHAN SAYYIDINA DALAM SELAWAT

TAMBAHAN SAYYIDINA DALAM SELAWAT

Bagi masyarakat Islam di Malaysia, amalan kebiasaan yang dilakukan ketika pembacaan selawat dalam tasyahhud atau ketika berdoa akan dilafazkan perkataan sayyidina (tuan kami) sebelum nama Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam sebagai tanda penghormatan kepada baginda. Bagi mereka yang enggan menambah perkataan tersebut di dalam tasyahhud ketika bersolat atau ketika berdoa seringkali dituduh sebagai golongan yang tidak menghormati atau mencintai Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.
Memang telah disepakati oleh semua ulama’ bahawa selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  merupakan satu perintah dari Allah ‘Azza Wa Jalla sebagaimana firman-Nya:


Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.[1]

Menurut al-Albani rahimahullah:
Pengertian selawat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang paling baik adalah seperti yang di kemukakan oleh Abu ‘Aliyah, iaitu Allah berselawat kepada Nabi maksudnya Allah memuji dan memuliakannya. Malaikat berselawat kepada Nabi maksudnya mereka memohon kepada Allah untuk mengurniakan kedudukan terpuji dan terhormat kepada beliau. Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Baari mengemukakan suatu pendapat yang popular tentang makna Allah berselawat kepada Nabi ialah Allah memberi rahmat kepadanya.[2]

TM Hasbi al-Shiddiquey rahimahullah  pula berkata:
“Adapun pengertian kita berselawat kepada Nabi ialah mengakui kerasulannya serta memohon kepada Allah semoga Allah melahirkan atau mengurniakan keutamaan dan kemuliaan kepada baginda.” [3]

Selanjutnya al-Syafi’i rahimahullah menulis:
Maka tidak adalah berselawat pada tempat yang lebih utama daripada dalam solat. Kami mendapat petunjuk dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dengan yang saya terangkan, bahawa selawat kepada Rasul-Nya shalallahu 'alaihi wasallam  itu fardhu dalam solat.[4]

Oleh itu jelaslah bagi kita bahawa berselawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam adalah satu perkara yang disyari’atkan di dalam solat. Maka ada baiknya untuk kita meneliti hadis-hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang mengajar kita mengenai tatacara untuk berselawat yang boleh dimanfaatkan dalam bacaan tasyahhud. Mempelajari cara Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan mengamalkannya adalah satu kaedah yang dituntut dalam Islam kerana beliau merupakan contoh ikutan yang terbaik bagi kita semua sebagaimana firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah
dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut
dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[5]


Hadis-hadis tersebut adalah seperti di bawah:[6]

Pertama:
Abdurrahman bin Abi Lailah berkata: “Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: “Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam?” Jawabku: “Sudah tentu! Hadiahkanlah kepadaku!” Dia berkata: “Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahlul bait, kerana sesungguhnya Allah telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)?” Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kalian:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.


“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.
Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [7]


Kedua:
Dari Musa bin Talhah, dari bapanya (iaitu Thalhah bin ‘Ubaidullah) dia berkata: “Kami (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu?” Baginda bersabda: Ucapkanlah oleh kalian:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.


“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.
Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.)” [8]


Ketiga:
Dari Abi Mas’ud al-Anshari, dia berkata: “Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam datang kepada kami sedang kami berada di majlis Sa’ad bin ‘Ubadah. Kemudian Basyir bin Sa’ad bertanya kepada baginda: “Allah Ta’ala telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu?” Kata Abi Mas’ud: “Maka Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: Ucaplah oleh kalian:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ

فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim,
Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, atas seluruh alam
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”[9]


Keempat:
Abu Humaid al-Saa’idi dia berkata: “Bahawasanya mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana (caranya) kami berselawat kepada mu?” Jawab baginda: Ucapkanlah oleh kalian:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.


“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.)” [10]

Selain dari selawat-selawat di atas terdapat beberapa lagi cara selawat yang telah diajar oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang boleh kita dapati dari hadis-hadis yang sahih dari baginda yang boleh dimanfaatkan dalam bacaan untuk tasyahhud.[11] Maka sewajarnya kita mencontohi cara bacaan yang benar-benar telah diajar sendiri oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Ini sesuai dengan anjuran baginda sendiri untuk mengikuti hanya baginda di dalam ibadah solat sebagaimana sabdanya: “Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”[12]
Setelah membaca hadis-hadis di atas mungkin para pembaca akan tertanya-tanya tentang perbezaan lafaz selawat dalam bacaan tasyahhud awal dan tasyahhud akhir (bagi solat yang lebih dari 2 rakaat). Keumuman hadis-hadis tentang lafaz selawat ini menunjukkan tidak ada perbezaan bacaannya dalam kedua-dua tasyahhud. Inilah juga pendapat al-Syafi’i rahimahullah dalam kitab al-Umm: “Bacaan selawat pada tasyahhud awal dan tasyahhud kedua adalah sama, tidak ada perbezaan.”[13] Semoga mereka yang mengaku bermazhab al-Syafi’i memperhatikan perkara ini demi untuk menjaga kesempurnaan tasyahhud dalam solat.
Setelah kita meneliti hadis-hadis yang sahih tentang bacaan selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, maka jelaslah tidak ada satupun lafaznya yang disebutkan perkataan Sayyidina. Sekiranya kita telah bersetuju bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam adalah Uswatun Hasanah (contoh ikutan terbaik) dan baginda juga memerintah kita untuk mencontohi baginda dalam bersolat, maka patutkah kita memiliki cara bacaan selawat yang berbeza atau menambah perkataan-perkataan tertentu dalam lafaz yang diajar oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri seolah-olah apa yang diajar oleh baginda kurang sempurna? Tentu sekali tidak! Apatah lagi Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri melarang kita memberi gelaran-gelaran yang berlebihan kepada baginda (termasuk Sayyidina) dan hanya mencukupkan kita dengan gelaran yang Allah ‘Azza Wa Jalla berikan kepadanya iaitu ‘abduhu wa rasuluhu’ (Hamba Allah dan Pesuruh Allah). Ini sebagaimana beberapa hadis berikut:


عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ عَلَى الْمِنْبَرِ

سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:

لاَ تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ

فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ.


Umar al-Khattab radhiallahu’anh berkata di atas mimbar,
aku mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah bersabda: “Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagaimana kaum Nasrani telah melakukan terhadap Isa anak Maryam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan seorang hamba, maka berkatalah:
Hamba Allah dan Pesuruh Allah.”[14]


عَنْ مُطَرِّفٍ قَالَ: قَالَ أَبِي انْطَلَقْتُ فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ

إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْنَا:

أَنْتَ سَيِّدُنَا! فَقَالَ: السَّيِّدُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى!

قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلاً وَأَعْظَمُنَا طَوْلاً.

فَقَالَ: قُولُوا بِقَوْلِكُمْ أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ وَلاَ يَسْتَجْرِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ.


Mutharrif bin Abdullah radhiallahu’anh berkata bahawa
ayahnya pernah bersama satu rombongan dari Banu Amir pergi berjumpa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.
Apabila mereka tiba, mereka berkata kepada Rasulullah:
“Anta Sayyidina!” (Anda tuan kami).
Nabi menjawab: “Tuan kamu adalah Allah Tabaraka wa Ta’ala.”
Mereka (Banu Amir) berkata lagi: “Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya, dan yang paling besar keutamaannya.”
Rasulullah menjawab: “Berkatalah kamu dengan perkataan kamu itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya.”[15]


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ:

يَا مُحَمَّدُ يَا سَيِّدَنَا وَابْنَ سَيِّدِنَا وَخَيْرَنَا وَابْنَ خَيْرِنَا!

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ! عَلَيْكُمْ بِتَقْوَاكُمْ! وَلاَ يَسْتَهْوِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ,

أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَاللَّهِ

مَا أُحِبُّ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ.


Anas bin Malik radhiallahu’anh berkata seorang lelaki
telah datang kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam seraya berkata:
“Ya Muhammad! Ya Sayyidina ibni Sayyidina!
(Wahai Tuan kami dan anak kepada Tuan kami), Wahai yang terbaik di kalangan kami dan anak kepada yang terbaik di kalangan kami!”
Rasulullah menjawab:
“Wahai manusia, hendaklah kalian bertaqwa dan jangan membiarkan syaitan mempermainkan engkau. Sesungguhnya aku adalah Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya; dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah 'Azza wa Jalla tentukan bagiku.”[16]

Ada pihak yang menyatakan larangan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tersebut bukanlah secara mutlak, ini hanyalah kesempurnaan keperibadian baginda dalam bersifat tawadhu’ (merendah diri). Oleh itu penambahan Sayyidina dalam selawat itu adalah sebagai tanda hormat kita kepada baginda dan memperbaiki lagi ibadah selawat tersebut.[17] Wahai pembaca yang budiman, mustahil masih ada perkara berkaitan dengan kesempurnaan ibadah yang yang terluput dari ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.  Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...[18]

Dengan terwahyunya ayat ini, maka segala bentuk ibadah yang disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala telah lengkap lagi sempurna sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam  kepada para sahabatnya untuk diwarisi kepada generasi kemudiannya. Maka apa sahaja amalan yang tidak dikerjakan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan sahabatnya maka ia sememangnya bukan sebahagian dari ibadah termasuklah amalan mengucapkan sayyidina dalam bacaan selawat. Ibnu Abbas radhiallahu’anh ketika menafsirkan ayat ini berkata (Tafsir Ibnu Kathir, jld. 2, ms. 12): “Allah memberi khabar kepada Nabi-Nya, bahawa agama keimanan sudah disempurnakan tidak perlu ditambah, dan telah dicukupkan tidak perlu dikurangi, kerana Allah meredhainya dan tidak murka selamanya.”[19] Selain itu Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  juga telah bersabda:

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا

لاَ يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلاَّ هَالِكٌَ.


Sesungguhnya aku telah meninggalkan kalian di atas ajaran yang putih bersih, yang malamnya laksana siangnya (akibat dari kejelasan ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  - pen), tidak seorangpun yang menyimpang darinya kecuali orang yang binasa.[20]

Sekiranya penambahan sayyidina dalam selawat ini adalah satu amalan mulia yang boleh mendekatkan kita kepada syurga, mungkinkah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tidak mengkhabarkan kepada kita hanya kerana baginda itu bersifat tawadhu’? Tentu sekali tidak! Tanggapan mereka menambahkan sayyidina itu sebenarnya mencantikkan lagi amalan selawat adalah bercanggah dengan pegangan al-Syafi’i rahimahullah kerana di dalam kitabnya al-Risalah, beliau berkata: “Sesiapa yang mencipta istihsan (mencipta suatu perkara yang disangka baik), maka dia telah mencipta syara’, dan sesiapa yang mencipta syara’  maka dia telah kafir.”[21] Pernyataan al-Syafi’i ini di sokong pula oleh firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan mereka menyangka bahawa mereka telah melaksanakan perbuatan perbuatan-perbuatan (ibadah yang mereka cipta mengikut cara mereka sendiri) adalah baik.[22]

Yang sebenar adalah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam memang tidak pernah mengsyari’atkan kata-kata sayyidina dalam selawat kepada baginda. al-Albani rahimahullah berkata:
Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah pernah ditanya orang tentang kalimat selawat untuk Nabi yang dibaca dalam solat dan di luar solat, baik yang wajib mahupun yang sunnah: “Apakah dalam ucapan selawat itu diisyaratkan menggunakan kata-kata Sayyid, seperti orang mengatakan “Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad” atau “ ‘ala sayyidil khalqi” atau ” ‘ala sayyidi waladi” atau hanya menggunakan  kata-kata ”Allahumma shalli ‘ala Muhammad” . Manakah yang lebih baik daripada ucapan-ucapan itu? Apakah digunakan kata-kata sayyid atau tidak menggunakannya kerana tidak tersebut dalam hadis-hadis.”

Jawab Ibnu Hajar al-‘Asqalani: “Benar, mengucapkan lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah yang benar. Janganlah sampai ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata sayyid dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhu’) sahaja sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar disebut nama Nabi tidak menyahut dengan ucapan shalallahu 'alaihi wasallam. Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Saya (Ibnu Hajar) menyatakan bahawa sekiranya benar bahawa ucapan sayyid itu ada, niscaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat dan tabi’in. Akan tetapi, saya (Ibnu Hajar) tidak menemukan adanya riwayat semacam itu dari seorang sahabat atau tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka. al-Syafi’i rahimahullah Ta’ala sebagai seorang yang paling menghormati Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam juga tidak menyebutkan kata sayyidina dalam awal pembukaan (muqaddimah) kitabnya. Padahal al-Syafi’i adalah contoh ikutan para pengikut mazhabnya. Beliau (al-Syafi’i) hanya menyebutkan ”Allahumma shalli ‘ala Muhammad”.[23]

Tambahan lagi setelah dirujuk kitab al-Umm dalam Bab “Tasyahhud Dan Selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam“ ternyata al-Syafi’i sendiri meriwayatkan hadis-hadis bacaan selawat yang tidak terdapat perkataan sayyidina di dalamnya.[24]
Dewasa ini ramai orang yang tidak ambil peduli untuk benar-benar mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam tatacara berselawat. Malah mereka bukan sekadar menambah lafaz sayyidina atau lafaz-lafaz lain dalam selawat, tetapi ada yang sampai ke tahap menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara total tanpa ada contohnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, para sahabat, generasi tabi’in mahupun imam-imam mazhab yang empat. Pada tanggapan mereka ini adalah satu perbuatan yang lebih bermanfaat dari lafaz aslinya yang datang dari baginda shalallahu 'alaihi wasallam. Tindakan sebegini sepatutnya dihindari secara oleh umat Islam dan kembali kepada ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis baginda yang sahih. Ini kerana Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam adalah makhluk yang paling sempurna ibadahnya dan yang paling mulia di sisi Allah ‘Azza Wa Jalla. Maka sewajarnya untuk kita tidak mencontohi ikutan yang lain selain dari baginda shalallahu 'alaihi wasallam. Berkata Abu Ubaidah:
Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam merupakan sebuah ibadah dan sesuatu bersifat tauqify (terhenti sebagaimana ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) maka kita semua wajib membaca selawat kepada beliau dengan lafaz yang telah ditetapkan...Kita tidak boleh menambah mahupun menggubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk formula selawat yang baru. Kerana tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik syari’at (iaitu Allah Ta’ala) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati.[25]



________________________________________
[1] al-Ahzaab (33):56
[2] Muhammad Nashiruddin al-Abani, Sifat Shalat Nabi, ms. 205.
[3] Dinukil daripada kitab Marilah Kita Berselawat Ke Atas Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wasallam, Hafiz Firdaus Abdullah, (Jahabersa, Johor Bahru, 1999), ms. 11.
[4] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 280
[5] al-Ahzaab (33):21
[6] Catitan penyunting: Di sini hadis-hadis diringkaskan kecuali terhadap bacaan selawat itu sendiri. Ini supaya para pembaca dapat mengamalkan terus bacaan-bacaan selawat tersebut.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 3370.
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1290.
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”, juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 3220.
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 3369.
[11] Dalam kitab al-Masaa-il, (Darul Qolam, Jakarta 2003), jld.2, ms. 11-29 karangan Abdul Hakim Amir Abdat, beliau telah membawa 8 cara selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dari hadis-hadis yang sahih.
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya, hadis no. 631.
[13] al-Syafi’i, al-Umm, jld.1, ms. 282. Apa yang biasa diamalkan di Malaysia dan yang tertulis dalam kitab-kitab fardhu ‘ain, terdapat perbezaan antara bacaan Tasyahhud awal dan akhir. Tasyahhud awal hanya memadai dibacakan tahiyat sahaja. Pendapat al-Syafi’i yang sebenar adalah kedua-dua tasyahhud awal dan akhir hendaklah disempurnakan dengan tahiyat dan selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis beliau yang sahih.
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 3445.
[15] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 4806. Berkata Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar‘iyyah wa al-Minah al-Mar‘iyyah (والمنح المرعية), jld. 3, ms. 455: “Sanadnya baik (jayyid).”
[16] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, hadis no. 12551 (jld. 3, ms. 153) dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan. Juga dikeluarkan oleh al-Nasa’i dalam ‘Amal al-Lail wa al-Yaum dengan sanad yang baik (jayyid) sebagaimana nilai Ibn Muflih dalam al-Furu’, jld. 3, ms. 568.
[17] Catitan penyunting: Agaknya alasan Syaitaniyah seperti inilah yang telah diperingatkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam sabda baginda: “Berkatalah kamu dengan perkataan kamu itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya.”
[18] al-Maaidah (5): 3
[19] Dinukil daripada kitab Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, Ibrahim bin Amir Ar-Ruhaili (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad Syamsuddin, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta 2002) ms. 29.
[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, hadis no: 17142 (jld. 4, ms. 126) dan ia dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan..
[21] Rasul Dahri, Bid’ah dan Percanggahannya, (Jahabersa, Johor Bahru, 1998), ms. 74.
[22] Al-Kahfi (18): 104
[23] Dinukil dari kitab Sifat Shalat Nabi, ms. 216.
[24] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 280-281.
[25] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 162.

Artikel Ehsan : http://hafizfirdaus.com/ebook/PersoalanSolat/9.htm#_ftn17


 

“Ya Allah, maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami. Dosa-dosa kedua ibu bapa kami, saudara-saudara kami serta sahabat-sahabat kami. Dan Engkau kurniakanlah rahmatMu kepada seluruh hamba-hambaMu. Ya Allah, dengan rendah diri dan rasa hina yang sangat tinggi. Lindungilah kami dari kesesatan kejahilan yang nyata mahupun yang terselindung. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik perlindung selain Engkau. Jauhkanlah kami dari syirik dan kekaguman kepada diri sendiri. Hindarkanlah kami dari kata-kata yang dusta. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa di atas setiap sesuatu.”