Print
PDF

Mutiara Hadis-Hadis Qudsi - Pengajaran 14 Manusia Sangat Memerlukan Pertolongan Allah

Petikan ini adalah salah satu babyang dipetik dari terjemahan buku karangan Imam Al-Ghazali berjudul 'Mutiara Hadis-Hadis Qudsi - Renungan dan pengajaran yang menyentuh Qalbu'. Saya cuma menyalin semula sahaja.

Allah SWT berfirman:

Ertinya: "Wahai sekalian manusia, carilah (dekatilah) Aku sekadar hajat kamu kepada-Ku dan berbuat dosalah kamu sekadar kesabaran kamu tinggal di dalam neraka. Janganlah kamu memandang umur kamu yang masih panjang, rezeki kamu yang sekarang serta dosa-dosa kamu yang tertutupi. Tiaptiap sesuatu pasti binasa, melainkan wajah-Nya (Zat-Nya), Dialah yang berhak menghukum dan kepada-Nya-lah kamu semua dikembalikan."

 

Carilah Aku sekadar kamu memerlukan Aku

Allah SWT berfirman:

"Wahai sekalian manusia, carilah (dekatilah) Aku sekadar hajat kamu kepada-Ku."

Betapa cantik dan mendalam kata-kata Allah ini. Allah SWT berfirman: "Carilah (dekatilah) Aku sekadar hajat kamu kepada-Ku." Kita disuruh mencari atau mendekati Allah sekadar hajat dan keperluan kita kepada-Nya.
Seolah-olah nampak sedikit sahaja. Namun cuba bayangkan betapa banyak keperluan kita kepada Allah. Bererti kita perlu mencari atau mendekati Allah setiap saat dan sepanjang masa.

 

Lakukanlah maksiat sekadar ketahanan kamu diseksa

Allah SWT berfirman:

"Dan berbuat dosalah kamu sekadar kesabaran kamu tinggal di dalam neraka."

Allah SWT mencabar kita. Silakan derhaka atau berbuat maksiat kepada Allah, tetapi ingat, sekadar kesanggupan kamu menahankan seksa neraka. Cubalah bakar jari telunjuk anda dengan api lilin selama satu minit. Cuba bayangkan pula panasnya api neraka. Bagaimana kalau anda diseksa di neraka selama satu hari, satu minggu, satu bulan atau satu tahun? Kalau begitu fikirlah dahulu sebelum berbuat dosa.

 

Jangan melihat umur kamu yang masih panjang

Allah SWT berfirman:

"Janganlah kamu memandang umur kamu yang masih panjang, rezeki kamu yang sekarang serta dosa-dosa kamu yang tertutupi. "

Jangan melihat umur kamu yang masih panjang, maksudnya masih panjang menurut anggapan kamu. Ramai orang beranggapan bahawa umurnya masih panjang. Padahal orang muda yang masih sihat pun ramai yang mati secara tiba-tiba. Rezeki hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah.

Begitu juga tentang dosa-dosa yang tertutupi. Memanglah Allah tidak mendedahkan dosa-dosa orang yang berbuat dosa. Maksudnya orang yang banyak dosa tidaklah dijadikan sakit-sakit, miskin, menderita dan sebagainya. Namun orang yang banyak dosa itu jangan merasa aman daripada seksa Allah, tetapi hendaklah dia segera bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Ya Allah, maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami. Dosa-dosa kedua ibu bapa kami, saudara-saudara kami serta sahabat-sahabat kami. Dan Engkau kurniakanlah rahmatMu kepada seluruh hamba-hambaMu. Ya Allah, dengan rendah diri dan rasa hina yang sangat tinggi. Lindungilah kami dari kesesatan kejahilan yang nyata mahupun yang terselindung. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik perlindung selain Engkau. Jauhkanlah kami dari syirik dan kekaguman kepada diri sendiri. Hindarkanlah kami dari kata-kata yang dusta. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa di atas setiap sesuatu.”