Print
PDF

Betapa nikmatnya kehidupan di syurga

Allah SWT berfirman:

Ertinya: "Wahai manusia, bagaimana kamu suka kepada dunia yang Bakal binasa dan hancur, bagaimana kamu suka kepada kehidupan yang bersifat sementara. Sesungguhnya, bagi orang-orang yang taat diberikan balasan syurga, mereka boleh memasukinya dari mana-mana pintunya yang lapan. Pada tiap- tiap taman ada 70 ribu taman, pada tiap-tiap taman ada 70 ribu mahligai daripada permata yaqut.

"Dan pada tiap-tiap mahligai terdapat 70 ribu negeri daripada permata zamrud (permata hijau), pada tiap-tiap negeri ada 70 ribu rumah daripada emas yang merah dan pada tiap-tiap rumah ada 70 ribu bilik daripada perak yang putih. Pada tiap-tiap bilik ada 70 ribu hidangan di dalam bejana berwarna debu, dan tiap—tiap sebuah hidangan ada 70 ribu pinggan daripada batu permata.

"Pada tiap-tiap pinggan ada 70 ribu macam makanan. Di dalam tiap-tiap bilik itu ada 70 ribu tempat tidur daripada emas yang merah, dan pada tiap-tiap tempat tidur ada 70 ribu tikar daripada sutera, yang bergambar-gambar, di sekitar tempat tidur itu masing-masing terdapat 70 ribu sungai dengan air yang mengalir dan tawar, madu, susu, dan khamar.

"Di tengah-tengah sungai itu ada 70 ribu jenis buah-buahan. Pada tiap-tiap rumah ada 70 ribu macam tenda daripada kayu yang bunganya warna merah; dan pada tiap-tiap tempat tidur ada beberapa bidadari, dan di depannya ada 70 ribu pesuruh wanita, seolah-olah mereka telur yang tersusun kuat dan rapi.

"Di atas tiap-tiap mahligai ada 70 ribu kubah, dan pada tiap-tiap kubah terdapat 70 hadiah daripada Allah yang Maha Pengasih, hadiah yang belum pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan belum pernah ada terlintas di dalam hati manusia. Buah-buahan pula adalah buah-buahan terpilih dan paling disukai, ada daging burung yang kamu sukai, bidadari yang seolah-olah mutiara yang tersusun indah. Itulah balasan daripada apa yang telah kamu usahakan.

"Tidak mati-mati kamu di dalamnya dan tidak pula menjadi (bertambah) tua, tidak berdukacita dan tidak berpuasa, tidak sembahyang, dan tidak pula berpenyakit, tidak pernah buang air kecil dan tidak pula buang air besar. Kamu tidak akan dikeluarkan daripadanya. Maka sesiapa mencarinya dan mengingat kemuliaan-Ku, jiran tetangga-Ku dan nikmat-Ku, maka hendaklah mendekatkan diri kepada-Ku dengan bersifat jujur, memandang hina terhadap dunia dan bersifat qana'ah (terpada) terhadap sesuatu yang sedikit."

 

Keadaan di syurga

Demikianlah saudara sifat-sifat syurga dengan segala kenikmatannya yang disediakan bagi orang-orang mukmin. Tentang bagaimana nikmatnya kehidupan di sang tidak perlu dihuraikan lagi kerana sudah jelas kita lihat dalam hadis di atas.

 

Orang-orang yang berhak dimasukkan ke syurga

Allah SWT berfirman:

“Maka sesiapa mencarinya dan mengingat kemuliaanKu, jiran tetangga-Ku dan nikmat-Ku, maka hendaklah mendekatkan diri kepada-Ku dengan bersifat jujur, memandang hina terhadap dunia dan bersifat qana'ah (terpada) terhadap sesuatu yang sedikit."

Sesiapa yang ingin dimasukkan ke syurga, maka hendaklah dia mendekatkan diri kepada Allah dengan bersifat jujur, memandang hina terhadap dunia dan bersifat qana'ah (terpada) terhadap sesuatu yang sedikit. Di samping itu tentunya banyak lagi amalan yang membawa ke syurga seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Sunnah.

“Ya Allah, maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami. Dosa-dosa kedua ibu bapa kami, saudara-saudara kami serta sahabat-sahabat kami. Dan Engkau kurniakanlah rahmatMu kepada seluruh hamba-hambaMu. Ya Allah, dengan rendah diri dan rasa hina yang sangat tinggi. Lindungilah kami dari kesesatan kejahilan yang nyata mahupun yang terselindung. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik perlindung selain Engkau. Jauhkanlah kami dari syirik dan kekaguman kepada diri sendiri. Hindarkanlah kami dari kata-kata yang dusta. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa di atas setiap sesuatu.”