Print
PDF

Selamat Menyambut Hari raya Aidilfitri 2012

ASSALAMUALAIKUM  WARAH MATULLAH HIWABARAKATUH.

Kepada semua Author dan Admin Islam2u.

Hanya sekelip mata Ramadhan telah meninggalkan kita. Dan tiba Syawal indah dan hiba. Bertapa kita beruntung. Dengan puasa yang tidak pernah tidak dua tiga juadah berbuka. Dengan bersahur yang tidak sekali-kalinya makan hidangan semalam. Dan santap ala raja-raja Mesir. Sampai terkangkang kekenyangan. Maklumlah, bersahur pula kerana takutkan lapar bila berpuasa esoknya.

Jauh benar penghayatan puasa kita dari yang dituntut oleh Islam. Dan apabila berpuasa tidak pula kita menahan mata  dari melihat yang ‘singkat-singkat’. Tidak juga telinga kita  selamat dari perkataan-perkataan yang dusta dan sia-sia. Juga lidah kita tercela dengan perkataan-perkataan dan syair-syair yang merosakkan.

Ya Allah, dimanakah letaknya puasa kami disisiMu? Adakah ia tergantung di gerbang-gerbang Syurga atau tercampak kedasar-dasar Neraka?

Dan ketika malamnya, ketika Engkau memerintahkan Malaikat-MalaikatMu turun ke dunia. Dengan membawa keberkatan-keberkatan Ramadhan  dan lailatul Qadar yang Engkau telah janjikan. Kami dengan tiada rasa rugi lena diulit mimpi-mimpi dunia. Dengan hangat dipeluk isteri dan juga suami masing-masing. Tidak kami memberatkan yang wajib keatas kami, dan tidak juga kami melebihkan yang disunatkan. Melainkan kami meringankan yang diharamkan dan menyukai yang dibenci olehMu.

Dan hari kemenangan yang  tiba ini adalah untuk siapa sebenarnya? Untuk kamikah? Untuk kami yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata? Sesungguhnya benarlah yang “Manusia itu benar-benar didalam kerugian”

Kemana hendak kami adukan nasib malang yang ditempah oleh diri sendiri ini

Yaa Allah, Yaa Rabbi, Yaa Rahman, Yaa Rahim. Sesungguhnya kami sangat takut bila mengingati mati. Tetapi tidak juga kami menghindarkan diri dari yang sia-sia. Dan merapatkan diri kepada yang dikatakan saham-saham Syurga. Masih juga kami cintakan perkataan-perkataan manis dunia yang sementara. Dan asyik dengan belaian-belaian fitnah yang indah pada kulitnya tetapi berulat didalamnya.


Ramadhan ini juga tidak menjadikan tangan-tangan kami ini ringan kepada yang tidak bernasib baik. Mereka menadahkan tempurung-tempurung kosong mereka, namun kami berpaling darinya. Dan tidak lembut hati ini, kerana sedikitnya tadarus. Rugi benar wahai diri yang rugi.


“Keluarlah engkau dari jerami-jerami batil yang menyesatkan. Pergilah engkau ke danau-danau Firdausi. Dan teguklah susu dan madu dari sungainya yang mengalir itu. Tanggalkanlah pakaian-pakaian duniamu yang berupa kelazatan dan kesukaan sementara. Dan redhalah yang Allah hummala aisya illa i’ shul akhiroh.”


“Wahai diri yang lalai. Berpeganglah engkau pada tali-tali Allah, janganlah engkau mencari tempat bergantung selain dariNya. Dan ingatlah, yang engkau itu, kun tum khoirat ukhmatin ukhrijat linnass, ta’ muru nabil makruf, watan hau na’anil mungkar, watu’ minu nabillah.”


“Dan janganlah menjadi orang yang rugi di dunianya dan rugi pula di akhiratnya. Berbaik-baiklah sesama kita dan saling memberi dan menerimalah. Juga jauhkan sombong dan bongkak kerana dengan itu iblis menjadi kafir selamanya. Tidakkah kita sepatutnya menggambil iktibar?”


“Dan cintailah Allah melebihi kita mencintai takhta-takhta kita. Cintailah Rasulullah SAW itu melebihi rintik-rintik hujan atau juga air dilautan. Letakkanlah tangan di dada kita semua. Dan rasakanlah zikirnya. Dengan itu tidakkah kita takut akan Allah? Dan tidakkah kita malu bertemuNya dalam keadaan telanjang bergini? Sesungguhnya umat ini menerima limpah rahmat dan nikmat yang melebihi dari umat-umat yang terdahulu. Dan janji-janji Allah keatas umat ini juga lebih utama kedudukannya dari umat-umat lain. Tidakkah kita wahai diri yang leka merasa lembut hati dan belas kepada diri kita sendiri?"


Selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua umat Islam.


Ikhlas dari Islam2u.net”

“Ya Allah, maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami. Dosa-dosa kedua ibu bapa kami, saudara-saudara kami serta sahabat-sahabat kami. Dan Engkau kurniakanlah rahmatMu kepada seluruh hamba-hambaMu. Ya Allah, dengan rendah diri dan rasa hina yang sangat tinggi. Lindungilah kami dari kesesatan kejahilan yang nyata mahupun yang terselindung. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik perlindung selain Engkau. Jauhkanlah kami dari syirik dan kekaguman kepada diri sendiri. Hindarkanlah kami dari kata-kata yang dusta. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa di atas setiap sesuatu.”