Print
PDF

Ramadhan Datang Lagi

 

Sedar tidak sedar telah tiba kembali Ramadhan Al-Mubarakh. Binalah bergunung-gunung azam kerana ianya tidak merugikan. Dan cadangkanlah ruang dan peluang untuk diri sendiri bersama-sama Allah, kerana ianya melazatkan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang penuh pengampunan. Bulan yang merantai dan membelengu iblis. Tetapi membebas dan melepaskan umat manusia dari azab dan siksa.

Marilah kita besama-sama memakmurkannya dengan memperbanyakkan amal ibadat. Dan murahkanlah hati untuk memberi kepada yang lain. Serta sambunglah ikatan silaturahim yang renggang dan terputus itu.

Bukan bermakna Ramadhan ialah bulan mengerjakan kebaikan, dan bulan-bulan lain itu bulan mengerjakan kemaksiatan. Tetapi Ramadhan adalah bulan yang mana penambahan amal kebaikan itu sangat menguntungkan. Malah keuntungannya berlipat kali ganda melebihi kepatutan.

Ramadhan ini juga ibarat medan bursa saham. Yang mana saham yang dijual didalamnya telah dijamin keuntungan yang berganda-ganda. Teragak-agak lagikah kita untuk melipat gandakan perlaburan kita didalam bursa saham yang telah dijamin ini. Dan yang menjaminnya adalah Allah sendiri.

Dan sesungguhnya Ramadhan itu adalah bulan untuk melatih diri menjadi lebih cermat didalam setiap perbuatan. Bulan yang menahan lidah dari perkataan yang sia-sia dan merosakkan. Bulan yang memelihara mata dari pemandangan yang jelek dan menjijikkan. Bulan yang menahan telinga dari halwa yang menghayalkan. Dan bulan yang menahan hati dari niat yang serong. Peliharalah jasmani dan rohani kita. Kerana itu adalah sebaik-baik perlaburan dibulan ini.

Ikhlas dari  warga Islam2u.net

“Ya Allah, maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami. Dosa-dosa kedua ibu bapa kami, saudara-saudara kami serta sahabat-sahabat kami. Dan Engkau kurniakanlah rahmatMu kepada seluruh hamba-hambaMu. Ya Allah, dengan rendah diri dan rasa hina yang sangat tinggi. Lindungilah kami dari kesesatan kejahilan yang nyata mahupun yang terselindung. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik perlindung selain Engkau. Jauhkanlah kami dari syirik dan kekaguman kepada diri sendiri. Hindarkanlah kami dari kata-kata yang dusta. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa di atas setiap sesuatu.”