DERMA KILAT - JUTAAN TERIMA KASIH

Alhamdulillan... Langganan hosting dan domain telah diperbaharui untuk 2 tahun. islam2u.net hoting plan (16/11/2016 - 15/11/2018). Manakala untuk Domain pula, next due 26/06/2018.

Jumlah yang diperlukan: RM590.00
Jumlah Sumbangan: RM 500.00

Penyumbang:
- Tuan Alfakir Billah
- Hamba Allah
- Infaq atas nama ayahanda (Allahyarham Hj Othman bin Lateh)
- Puan Rahmah
- Infaq ata nama ibunda (Allahyarhamah Arbayah bte bahron)
- Hamba Allah

Jazakumullah Khairan. Semoga Allah jualah yang membalas budi kalian. Semoga Allah melipat gandakan rezeki kalian dengan rezeki yang barokah.

Print
PDF

Hodohnya Ahli Neraka

Mari kita renungi tubuh kita sejenak. Pernahkah salah satu bahagian tubuh kita melecur kerana terbakar api?? Atau pernahkah salah satu bahagian tubuh kita dipukul dengan benda keras???

sekadar gambar hiasanSaya pernah mengalami luka terbakar di salah satu bahagian tubuh saya. Bahagian badan saya yang lain juga pernah dipukul dengan benda keras. Rasanya sangat menyakitkan. Dan saya perhatikan bahawa bahagian tubuh yang terbakar atau terpukul itu membesar kerana proses pembengkakan. Semakin besar luka yang saya deritai, semakin besar bengkak tersebut.

Kejadian sama akan berulang lagi di neraka. Bezanya “pembesaran” itu dalam skala yang jauh lebih besar. Ini disebabkan api neraka jauh lebih panas dan pukulan malaikat jauh lebih kuat. Apatah lagi seksaan ini berlangsung dalam jangka masa yang sangat panjang, ratusan bahkan ribuan tahun.

Kulit dan tubuh ahli neraka juga terus menerus diperbaharui supaya ia boleh terus menerus menanggung azab seksaan yang luar biasa pedihnya namun tidak pula berakhir dengan kematian.

Segala seksaan ini akan membuatkan tubuh mereka semakin membesar. Ia akan terus membesar hingga mencapai kadar yang tidak terjangkau oleh imaginasi akal manusia waktu ini.


Tubuh Ahli Neraka
Sekarang, mari kita perhatikan hadith-hadith Nabi SAW yang menjelaskan perkara yang saya sebut di atas.
Salah satunya, sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Jarak antara kedua-dua bahu seorang kafir di Neraka sejauh perjalanan tiga hari bagi seorang yang menaiki kenderaan yang berlari cepat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)

Dalam hadith al-Tarmizi daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Gigi geraham seorang kafir pada hari Kiamat sebesar gunung Uhud, pahanya sebesar gunung al-Baida dan tempat duduk di Neraka seluas perjalanan tiga hari ke al-Rabazah.”

Al-Rabazah adalah sebuah tempat yang terletak tiga batu dari Madinah. Ini menunjukkan bahawa anggota tubuh orang kafir di Neraka menjadi sangat besar dan lebar.

Demikianlah balasan yang akan diterima setiap anggota tubuh manusia yang sudah biasa melakukan maksiat serta tidak mengendahkan perintah dan larangan Allah SWT.

Begitu juga lidah manusia. Ia anggota tubuh yang paling sering digunakan untuk mengingkari dan mempersendakan ayat-ayat Allah SWT. Ia juga selalu digunakan untuk menghina orang beriman yang berusaha menjaga diri dan kehormatannya daripada noda dan dosa.
Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang kafir akan menyeret lidahnya sepanjang satu atau dua farsakh. Lidah itu diinjak-injak oleh manusia-manusia yang lain.” (Riwayat al-Tarmizi)

Para ulama berkata bahawa tubuh ahli neraka ini dibesarkan agar kepedihan seksa yang mereka rasai terus bertambah setiap waktu. Semakin luas dan lebar pemukaan badan yang diseksa, semakin banyak seksaan yang boleh ditimpa kepadanya. Dan semakin banyak seksaan yang menimpa, semakin tinggi darjah kesakitan yang akan mereka rasai.


Hodohnya Ahli Neraka
Selain tubuh mereka menjadi sangat besar, “penampilan” mereka juga sangat buruk. Sekali api neraka menyambar, tidak tersisa lagi daging yang membalut tulang. Kulit dan daging berguguran sehingga mereka berubah menjadi makhluk yang sangat hodoh.Nauzubillah!!

Akan terjadi apa yang Allah beritakan dalam mafhum firmanNya: “muka mereka dibakar oleh api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat (kalihun).” Surh al-Mu’min 23:104)

Dalam sunan al-Tarmizi, Rasulullah SAW mentafsir lafaz “kalihun” ini dengan sabda yang bermaksud : “Wajah mereka dibakar dengan api, maka bibir bahagian atas mereka menjulur hingga ke lehernya dan bibir bahagian bawah mereka menjulur hingga menyentuh tali pusatnya.”

Semoga Allah menjauhkan kita daripada seksa neraka. Pada saat ini kita telah dapat membayangkan manusia yang penampilannya begitu mempesona dilayar perak, kini berubah menjadi makhluk yang buruk rupa. Rawatan kecantikan yang menghabiskan jutaan ringgit di dunia ini tidak dapat menangkis bahang api neraka sedikit pun.

Abi al- Dunya meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr : “Andai seorang ahli neraka dikeluarkan ke dunia pada saat ini, nescaya penduduk dunia akan mati kerana kehodohan rupa dan baunya yang busuk. Sahabat Nabi SAW ini lalu menangis teresak-esak.

Oleh sebab itu, jangan iri hati kepada golongan ini. Jangan juga jadikan mereka teladan kita dalam menjalani kehidupan. Demi Allah, Andai kita melihat keadaan mereka di neraka kelak , kita akan rasa sangat bersyukur kepada Allah kerana tidak menjadikan kita seperti mereka.


Pakaian Ahli Neraka
Tidak terkecuali pakaian, perhiasan dan tempat tinggal mewah yang mereka nikmati pada saat ini. Semua ini akan berganti dengan pakaian yang dibuat daripada api. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “ Pakaian mereka (ahli neraka) adalah pelangkin (tar) yang sangat panas….” (Surah Ibrahim 14:50)

Sudah tidak ada lagi fesyen yang selama ini dituruti dan dijaga. Sebaliknya, hanya api yang akan menjadi lantai, atap dan kediaman mereka selama-lamanya. Api juga akan menjadi katil dan kerusi tepat mereka cuba melepaskan penat berdiri. Tidak terbayang seksaan yang mereka rasakan pada saat itu. Sebiji bara api yang diletakkan atas tapak kaki, panasnya terasa hingga ke otak.

Berkata Wahb bin Munabbih: “Sesungguhnya ahli neraka yang benar-benar ahlinya, mereka tidak akan merasai rehat, tidur dan maut di dalamnya. Setiap saat, mereka berjalan di atas api dan duduk pun di atas api. Minuman mereka ialah nanah dan darah ahli neraka, makanan mereka buah zaqum yang dibuat daripada api dan tembaga yang sangat panas.” (Riwayat al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya dalam kitab Sifat al-Nar)


Jeritan dan Tangisan       
Orang yang dahulunay sangat sombong dan angkuh ini akan terus menjerit kesakitan tanpa henti. Mereka meraung, menjerit, meratap, merintih dan menangis tanpa ada sesiapapun yang mempedulikan mereka. Semua ini tidak akan terjadi andai mereka pernah menangis di dunia kerana menyesali dosa-dosanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Ahli neraka akan melepaskan tangisan dan jeritannya sehingga kering air mata mereka. Mereka lalu menagis air mata darah sehingga meninggalkan kesan di wajah mereka seperti parit-parit. Andai sebuah bahtera dilayarkan di atasnya, nescaya ia akan berlayar”. (Riwayat Ibn Majah)

Sungguh rugi orang yang memiliki rupa yang canti, namun tidak menghiasi kecantikannya dengan iman. Sungguh rugi orang yang diciptakan dengan rupa yang tampan, namun tidak pernah membasuh mukanya dengan air mata taubat.
Rugilah orang membeli neraka dengan kenikmatan sesaat.  Kenikmatan yang ditawarkan hawa nafsu  akan berakhir dengan segera, sementara azab neraka tidak akan berakhir selama-lamanya.


Jagalah Dirimu Daripada Api Neraka
Daripada ‘Adi bin Hatim r.a katanya: “Suatu hari Rasulullah SAW menceritakan mengenai seksa neraka. Baginda lalu memalingkan wajahnya sambil berlindung kepada Allah daripada api neraka. Baginda lalu kembali menyebutkan neraka.Baginda kembali memalingkan wajahnya sambil berlindung kepada Allah  daripada seksa neraka.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Jagalah dirimu daripada api neraka walau hanya dengan (memberikan sedekah sebesar) setengah biji kurma. Sesiapa yang tidak memilikinya, maka ucapkanlah kata-kata yang baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga kita selalu menjaga diri kita, orang tua kita, anak-anak kita,guru-guru kita dan semua orang yang kita kasihi daripada seksaan api neraka.

Sumber:
SOLUSI ISU No.29, Umar M Noor, hlm 103-104.

* Ya Tuhan leraikanlah dunia yang mendiam di dalam hatiku, kerana disitu tidak ku mampu mengumpul dua cinta. Hanya cintaMu kuharap tumbuh dibajai bangkai dunia yang kubunuh….

“Ya Allah, maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami. Dosa-dosa kedua ibu bapa kami, saudara-saudara kami serta sahabat-sahabat kami. Dan Engkau kurniakanlah rahmatMu kepada seluruh hamba-hambaMu. Ya Allah, dengan rendah diri dan rasa hina yang sangat tinggi. Lindungilah kami dari kesesatan kejahilan yang nyata mahupun yang terselindung. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik perlindung selain Engkau. Jauhkanlah kami dari syirik dan kekaguman kepada diri sendiri. Hindarkanlah kami dari kata-kata yang dusta. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa di atas setiap sesuatu.”